Sebahagian Ibubapa menunggu anak-anak mereka di SMK Bandar Baru Serting semalam selepas dimaklumkan tentang serangan histeria yang berlaku di sekolah berkenaan.

JEMPOL – Sesi pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Serting dekat sini semalam bertukar gempar apabila 30 pelajar perempuan sekolah berkenaan secara tiba-tiba diserang histeria.
Kejadian yang berlaku pada pukul 8.45 pagi itu turut mengejutkan warga sekolah berkenaan selepas sejam sesi pembelajaran bermula.
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid berkata, pihak sekolah memaklumkan kejadian itu sebaik sahaja pelajar diserang histeria.
“Pihak sekolah telah mengawal keadaan dengan membawa pelajar terlibat ke sebuah surau dalam kawasan sekolah dan menghubungi pengamal perubatan Islam untuk membantu.
“Kejadian bermula dengan seorang pelajar perempuan tingkatan lima dan kemudian berlaku kepada pelajar lain. Kita dapati bukan sahaja pelajar tingkatan lima yang diserang histeria tetapi ada juga pelajar dari tingkatan lain,” katanya di sini semalam.
Berikutan kejadian itu, pelajar yang tidak mengalami gangguan dibenarkan pulang sekitar pukul 1 petang, manakala yang terlibat terus dipulihkan di surau berkenaan.
“Pihak sekolah juga telah menghubungi ibu bapa pelajar dan mereka yang terlibat ada yang dibawa pulang oleh ibu bapa masing-masing.
“Sebahagian lagi dibawa pulang ke rumah oleh guru sekolah tersebut,” ujarnya.
Ditanya punca kejadian, pihaknya masih menyiasat dan tidak dapat memberikan gambaran tepat buat masa ini.
0 Response to "30 pelajar diserang Histeria."
Post a Comment